Pelajar IPTS Hasil Video Klip Hargai Chong Wei!

by MM on August 9, 2012

SHAH ALAM – Penghargaan rakyat Malaysia khususnya golongan muda ke atas Datuk Lee Chong Wei, yang mengutip pingat perak kedua dalam Sukan Olimpik, Ahad lalu berterusan.

Terbaru, pelajar-pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) menghasilkan klip video dengan tema “Anda hero saya”.

Klip video itu menghimpunkan siri gambar yang menunjukkan  Chong Wei sedih dan menitiskan air mata selepas tewas kepada Lin Dan dari China.

Klip video yang durasinya 2.18 minit telah diakses oleh lebih 12,000 setakat jam 12 tengah hari tadi.

Pembuka kata kilp video itu, menyebut “semangat juang Datuk Lee Chong Wei telah membolehkan dia bukan sahaja menang pingat perak, tetapi juga rasa hormat keseluruhan rakyat Malaysia.”

“Kami semua menitis air mata apabila dia duduk di lantai selepas perlawanan, malah sangat sedih apabila dia memohon maaf menerusi Twitter,” tambah kata-kata pembukaan

Semalam, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa dua pelajar IPTS membawa klip video, yang antara lain menyebut, “you are a champion. You are a champion and you should know that. Forget the do’s and dont’s, the mistakes and drawbacks.”

Klip video 1.37 minit antara lain bertujuan memberi semangat kepada Chong Wei yang kelihatan kecewa selepas gagal dalam misi mengutip emas Sukan Olimpik buat kali kedua.

Ahad lalu, Chong Wei memenangi pingat perak buat Malaysia setelah tewas 21-15, 10-21 dan 19-21 di tangan pemain China, Lin Dan dalam perlawanan akhir perseorangan badminton lelaki Olimpik 2012.

Ini merupakan pingat peraknya yang kedua setelah tewas kepada Lin Dan dalam acara sama di Sukan Olimpik Beijing, empat tahun lepas.

Previous post:

Next post: