KENYATAAN ZED ZAIDI JAWAB ISU MEROYAN DI TWITTER

by TunTeja on August 26, 2012

Semenjak kebelakangan ini, jelas kedengaran kelantangan suara Zed Zaidi dalam mempejuangkan isu artis terutama pelakon tanah air.

Antara isu yang berbangkit adalah isu permit Pelakon Filem Asing (PFA), isu kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), isu kutipan royalti pelakon dan banyak lagi.

Lantaran dari beberapa isu yang dibangkitkan oleh Zed Zaidi selaku Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), ramai pihak yang mula bersetuju dan memberi maklum balas yang positif berkenaan tindakannya itu.

Pada masa yang sama, ada juga pihak yang mempersoalkan kepada media, “Apakah tindakan Zed? Takkkan kecoh di Twitter sahaja?.”

Persoalan itu terungkai apabila MyNewsHub menghubungi Zed bagi mendapatkan maklum balas berkenaan tindakan Seniman dalam menangani isu itu sekaligus memperjuangkan hak artis tempatan.

Zed berkata, kelantangan ‘suaranya’ di laman sosial Twitter bukan sekadar berakhir di situ sahaja.

Sebaliknya dia menggerakkan seluruh jentera Seniman untuk bekerja memperjuangkan hak ahli mereka.

“Saya bukan cakap saja, saya dan jawatankuasa Seniman buat kerja.

“Kami dah hantar surat dan memorandum kepada kementerian berkenaan, kami telah bermesyuarat dengan beberapa kementerian serta agensi yang bertanggungjawab,” ujar Zed ketika dihubungi MyNewsHub hari ini.

Katanya, pihak Seniman telah mendapat maklum balas yang positif dari pihak Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pada masa yang sama, pihak Seniman juga telah dipanggil oleh beberapa agensi yang bertanggungjawab untuk bermesyuarat dan membincangkan dengan lebih terperinci berkenaan isu-isu yang dibangkitkan.

Selain itu, Zed juga tidak mempedulikan kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap dirinya.

“Lantak lah orang cakap saya meroyan dekat Twitter ke apa.

“Janji saya buat kerja dan selesaikan amanah dan kepercayaan yang diberi,” ujar Zed.

Isu pelakon dari negara luar semakin hangat diperkatakan apabila Zed mempersoalkan status permit Pekerja Filem Asing (PFA) Randy Pangalila yang tidak berdaftar dengan persatuan bersekutu di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) apabila Randy tampil dalam sebuah rancangan televisyen tempatan pada minggu lalu.

Zed turut kecewa serta mengecam tindakan Randy dan syarikat produksi yang tidak mematuhi prosedur penggambaran di Malaysia.

Previous post:

Next post: