KUALA MUDA– Satu kebakaran berlaku di Jalan Sekerat, Sungai Petani 3.30 pagi semalam melibatkan sebuah pasar mini yang dibuka 24 jam.
Pekerja kedai yang mahu dikenali sebagai Mogan, 19, berkata, ketika sibuk berada di kaunter, dia ternampak kelibat seorang lelaki yang berjalan di hadapan kedai.
“Bagaimanapun, keadaannya yang mundar-mandir mencurigakan sebelum ternampak dia membaling sesuatu dipercayai sebotol bom petrol sehingga mengakibatkan pasar mini terbakar,” katanya.
Menurutnya, suspek yang masih memakai topi keledar dan topeng muka itu dilihat melalui kawasan mini market sebelum bertindak membaling bom.
“Ketika itu saya sedang sibuk mengira wang di kaunter namun secara tiba-tiba terkejut dengan kehadiran suspek yang membaling bom sehingga cermin kedai pecah,” katanya.
Menceritakan kejadian, Mogan berkata, dia ternampak suspek menggunakan pemetik api sebelum menghalakan pemetik api itu ke arah botol yang mengandungi petrol sebelum membaling botol ke dalam kedai.
Kebakaran yang berlaku di sebuah pasar mini dekat Jalan Sekerat, Sungai Petani awal pagi semalam.
Menurutnya, dia yang keseorangan ketika kejadian cuba menggunakan pintu belakang kedai untuk menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Rosdi Ismail berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
